Takiyuddin Hassan
KUALA LUMPUR – Pas menegaskan parti itu tidak mahu terlibat mahupun dilibatkan dalam sebarang polemik politik yang membawa negara ke kancah perpecahan dan mengundang
kepada ketidakstabilan, ancaman terhadap keamanan dan kehidupan ekonomi rakyat.
Justeru parti itu bertekad memperkasakan Gagasan Muafakat Nasional (MN), di samping mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyeru rakan-rakan politik terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar daripada peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan yang baik dan berintegriti.
”Pas amat percaya hanya perpaduan yang sejati dan ikhlas sahaja mampu membawa kepada pembinaan negara yang harmoni, maju, bersatu padu serta saling menerima dan hormat menghormati di antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya di negara kita yang tercinta ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, sebagai sebuah parti politik utama negara yang berprinsipkan Islam, Pas tegas berpandangan aspek perpaduan amatlah penting dalam proses bina negara demi kepentingan rakyatnya.
Selepas bersama memimpin ke arah perpaduan ummah melalui MN, dikuti menyelamatkan negara melalui persefahaman menubuhkan Kerajaan PN, Pas berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara terutama ketika berada dalam keadaan yang amat sukar. – MalaysiaGazette