M Anumantan.

KUALA LUMPUR – Kuota pemain import kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) bakal lengkap sepenuhnya apabila pemain skuad kebangsaan Singapura, M. Anumanthan Kumar dilaporkan akan menyertai pasukan itu.

Anumathan atau dipanggil sebagai Anu turut mengucapkan selamat tinggal kepada kelabnya, Hougang United pada 9 Disember ini sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai perpindahannya ke skuad Lang Merah.

Walaupun KDA FC belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun media dari Singapura telah mengesahkan pemain yang berusia 26 tahun itu akan mengikut jejak langkah Safuwan Baharuddin (Selangor), Shakir Hamzah (Perak) dan Harris Harun (JDT) beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2021.

Ini kali pertama beliau menyertai kelab di luar negara dan Anu turut mempunyai pengalaman beraksi di AFC Cup bersama pasukan Home United (kini Lion City Sailors FC) di bawah kendalian Aidil Shahrin Sahak.

Aidil yang kini merupakan ketua jurulatih KDA FC amat mengenali pemain tersebut dan menyifatkan kehadirannya mampu membantu jentera tengah yang diketuai oleh Baddrol Bakhtiar.

“Kalau anda tanya saya, ada beberapa pemain yang bagus dan boleh bermain di luar negara bila-bila masa. Sudah tentu saya mahu bawa Anumanthan.

“Dia bukan sahaja seorang pemain yang mempunyai skill tetapi lebih kurang seperti Harris Harun yang sentiasa memberi 100 peratus, orang yang bekerja keras untuk pasukan dan saya fikir pemain seperti Anu boleh bermain di Malaysia,” katanya ketika ditemubual oleh The Final Whistle. 

Kedah setakat ini mengekalkan tiga pemain import musim lalu iaitu Kipre Tchetche, Kpah Sherman dan Renan Alves.

Seorang lagi pemain iaitu Rabih Ataya dari Lubnan dijangka mengisi kuota pemain import Asia.

Sebelum ini, pemain naturalisasi dari Indonesia iaitu Marc Klok serta Stephano Lilipaly turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan itu. – MalaysiaGazette