Mauricio Pochettino.

PARIS – Mauricio Pochettino secara rasmi dinamakan jurulatih baharu juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) sebentar tadi susulan pemecatan Thomas Tuchel.

PSG berkata di laman sesawang mereka bahawa bekas pengurus Tottenham itu menandatangani kontrak hingga 30 Jun 2022 dengan pilihan tambahan setahun.

Juara Perancis itu memecat Tuchel, 47, selepas dua setengah tahun berkhidmat, walaupun layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara musim ini dan membawa mereka ke final musim lalu.

Namun, PSG hanya mengesahkan pemergian bekas bos mereka itu lima hari selepas berita mengenai pemecatannya bocor.

Tuchel diberi tamparan hebat itu selepas meraih kemenangan 4-0 ke atas Strasbourg, Rabu lalu dengan PSG berada di kedudukan ketiga Ligue 1, satu mata di belakang pendahulu Lyon. – MalaysiaGazette