Jeffrey Kitingan
KUALA LUMPUR – Parti Solidariti Tanahairku (Star Sabah) akan mengembangkan lagi aktiviti politiknya dengan menubuhkan Pejabat Perhubungan Negeri-Negeri di Semenanjung.
Perkara itu dipersetujui oleh kepimpinan tertingginya menerusi Mesyuarat yang dipengerusi oleh Presiden Star,  Datuk Seri Jeffrey Kitingan baru-baru ini.
Setiausaha Agung Star Sabah, Senator Datuk Guandee Kohoi berkata, pucuk pimpinan telah melantik Datuk Iskandar Abdul Malik sebagai Pengerusi Star Semenanjung dan berapa orang lagi akan dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan lain-lain negeri.
Tambah beliau, langkah untuk mengembangkan parti ini di Semenanjung tidak bercanggah dengan Perlembagaan Star, malah ianya satu usaha dalam memperkuatkan parti menjelang PRU akan datang.
Katanya lagi, tidak mustahil untuk Star Sabah bertanding di Semenanjung memandangkan terdapat permintaan daripada rakyatnya yang menetap di Semenanjung.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar anak-anak Sabah di Semenanjung untuk menjadi ahli Star bagi mereka yang bukan berasal dari Sabah boleh menjadi ahli bersekutu. – MalaysiaGazette