Foto hiiasan
SELEPAS lebih setahun dunia berdepan cabaran pandemik COVID-19, Malaysia kini
memulakan tahun 2021 dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Pemulihan (PKPP). Pada fasa ini, Kerajaan membuat keputusan berani untuk
membuka lebih banyak aktiviti ekonomi dan pendidikan. Kerajaan mewajibkan
saringan dengan lebih ramai melibatkan pekerja. Oleh itu, Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) menjangkakan lebih banyak kes baharu akan dikesan kerana
sebelum ini ramai yang tidak pernah disaring.
Jika mereka tidak disaring, tiada siapa tahu status mereka sama ada sudah dijangkiti
atau belum? Jika mereka yang sebenarnya ada virus COVID-19 di dalam badan
tidak disaring dan dikesan, sudah tentu jangkitan tidak dapat dihentikan, malah lebih
teruk ia akan merebak tanpa diketahui.
Dalam memerhati trend ini, pandangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham
Baba amat tepat dan mungkin dapat melegakan kita semua. Kes meningkat ini
sebenarnya sudah dijangka! Dr Adham sendiri telah mengeluarkan kenyataan
bahawa KKM memang telah menjangka kes baharu akan naik akibat proses ujian
saringan yang dilakukan.
Ia digerakkan di seluruh negara secara gerila atau besar-besaran oleh pasukan
KKM yang bekerja siang dan malam.
Masih ingat peristiwa di Sabah sekitar Oktober 2020? Bagaimana ia terjadi sehingga
kes baharu COVID-19 melonjak tinggi dengan cepat? Sama saja kaedahnya, KKM
menjalankan ujian saringan yang menyeluruh pada waktu itu.
Bak kata pepatah Melayu, “besar periuk, banyaklah keraknya”. Begitu juga dengan
keadaan ini, makin banyak kita buat swab test, maka makin banyaklah keputusan
kes positif dan negatif yang kita dapat tahu.
Ingat lagi tak kira-kira 10 bulan lalu? Pada Mac 2020 kerajaan memerintahkan kita
semua untuk berada di dalam rumah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tiada yang berada di jalan raya atau di premis pekerjaan waktu itu.
Kes positf yang dilaporkan di kaca televisyen pada waktu itu menunjukkan trend
menurun dengan cukup laju. Akhirnya kita mencatat rekod menjadikan ‘zero case’
atau tiada kes harian dilaporkan waktu itu. Jika ada sekali pun, sekadar satu atau
dua angka sahaja.
Kenapa pula waktu itu kita boleh melandaikan lengkung graf COVID-19 negara?
Semuanya kerana kita semua tidak keluar rumah, saringan pula tidak dilakukan.
Maka, catatan kes baharu atau kes positif pun tiada atau makin berkurang.
Sekarang kerajaan terpaksa izinkan sektor pekerjaan, pendidikan dan ekonomi
beroperasi seperti biasa. Para pekerja dan orang ramai berpusu-pusu keluar rumah
dan melakukan aktiviti seperti kelaziman. Cuma ada tambahan sedikit pemintaan
amalkan norma baharu dan patuhi prosedur operasi standard (SOP).
Apabila sudah ramai yang keluar rumah, maka ujian saringan pun di buat di sini
sana termasuklah di kilang-kilang dan syarikat-syarikat swasta. Premis kerajaan juga
tidak tertinggal, asalkan ada manusia dan kes di sesuatu tempat itu, pasti KKM akan
buat ujian saringan.
Maka tidak hairanlah kenapa kes positif baharu COVID-19 meningkat berbanding
bulan April, Mei dan Jun 2020 lalu. Matematiknya cukup mudah, makin kerap dan
banyak kita lakukan swab test, makin tinggilah keputusan kes positif yang kita dapat
ketahui.
Keputusan terbaharu oleh pihak kerajaan adalah arahan untuk melakukan ujian
saringan kepada 800 ribu orang pekerja seluruh negara dalam masa terdekat. KKM
akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan beberapa agensi
penguatkuasa yang lain.
Yang sudah siap disaring sekarang cuma kira-kira 95 ribu orang pekerja, yakni 11
peratus daripada hasrat kerajaan (883 ribu orang pekerja). Bayangkan, baru 11
peratus, angka kes positif yang kita catatkan telah mencecah nombor dua dengan
empat digit. Dalam hal ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
bertanggungjawab membuat ujian saringan ini di seluruh negara.
Untuk menghabiskan angka 883 ribu orang ini, cuba kita bayangkan berapa lama ia
diperlukan untuk menyaring? Mungkin ia memakan masa lima hingga enam bulan.
Ini bermakna, kita akan berhadapan dengan kes positif yang tinggi selama tempoh
berkenaan.
Rakyat perlu tahu, peningkatan kes positif yang setiap hari dilaporkan ini bukan
sebab kegagalan sistem kesihatan negara ini.
Walhal, ini menunjukkan keberanian, kesungguhan dan kesanggupan KKM untuk
mengesan habis-habisan virus ini supaya ia dapat dihentikan dengan lebih pantas.
Bukan semua sistem kesihatan di dunia ini sanggup dan berani membuat ujian
saringan sebanyak-banyaknya ke atas penduduk mereka. Bagi sesetengah negara
lain, mereka tidak bersikap jujur dan tidak mampu menyaring penduduknya dalam
angka yang besar seperti kita.
Tetapi bersyukurlah kerana kita mempunyai pemimpin dan jentera kerajaan yang
berani, cekal, tabah dan jujur di KKM yang mahu memutuskan rantaian ini segera.
Kalau kita tidak peduli pun nak membuat saringan, itu tidak akan sesekali
memutuskan rantaian maut ini.
Malah dalam senyap-senyap jangkitan boleh berlaku, kematian akan berlaku tiba-
tiba di sekeliling kita tanpa ada sebarang tanda awal.
Pada akhirnya, rakyat tidak harus termakan dengan dakyah-dakyah kotor
sesetengah pihak yang mungkin akan menghasut kononnya peningkatan kes positif
yang tinggi sejak kebelakangan ini adalah tanda kerajaan telah gagal mengurus
pandemik.
Ini semua adalah strategi dan gerak usaha Dr Adham Baba dan pasukannya di KKM
untuk memutuskan virus maut yang telah mengubah nasib hidup kita semua. Hanya
kerajaan yang bersungguh-sungguh dan berani sahaja yang mahu membuat
saringan besar-besaran bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak maut ini.
Namun demikian, peranan orang ramai sangat penting untuk kita membudayakan
norma baharu. Ini bukan soal kena kompaun RM1,000, tetapi soal tanggungjawab
bersama mengekang penularan virus tak nampak.
DR. MUHAMMAD AL-KELANTANI
Bandar Baru Bangi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast