Tan Sri Annuar Musa.

PUTRAJAYA – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa 143 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak benar.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, hanya 99 bahagian yang menolak kerjasama UMNO dengan Bersatu.

“Maklumat setakat ini diberitahu kepasa saya, yang buat usul sedemikian ialah 99 bahagian yang secara terang-terangan menolak PPBM (Bersatu).

“Ada (bahagian) yang terima (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, tak terima DAP. Usul ini pelbagai,” katanya dalam sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Annuar berkata, daripada 191 Bahagian UMNO yang mengadakan mesyuarat bahagian masing-masing, hanya dua yang tidak membuat mesyuarat.

“Adakah kamu yakin semua 189 termasuk Ketereh menyokong untuk tak bersama Bersatu dalam PRU-15? Adakah Bahagian Sembrong begitu? Rembau begitu? Putrajaya begitu? Bera begitu?

“Adakah Bahagian Datuk Seri Mahadzir Khalid (Padang Terap) sependapat begitu? Cuba telefon pemimpin-pemimpin kanan,” katanya lagi.

Ahmad Zahid pada Ahad lalu berkata, sebanyak 143 dari 191 bahagian UMNO atau 74.8 peratus telah mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU-15.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mendakwa maklum balas itu dikumpulkan melalui kumpulan WhatsApp yang dianggotai semua pemimpin bahagian.

Untuk itu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam ini akan membuat ketetapan sama ada untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional berdasarkan kepada usul daripada bahagian-bahagian parti yang diterima. – MalaysiaGazette