Bayi dipercayai baru lahir ditemukan di dalam ladang kelapa sawit di Kemayan, Bera Pahang.

KUANTAN – Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan dan menghidap sindrom ‘down’, ditemukan dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kemayan, Bera, kira-kira 175 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bera DSP Mansor Samsudin berkata bayi itu ditemukan kira-kira 1.45 tengah hari oleh dua pemancing, yang masuk ke ladang tersebut untuk menahan jaring menangkap ikan di kawasan yang dilanda banjir.

“Pemancing berkenaan mendakwa mereka menjumpai sebuah kotak dan apabila diperiksa, terdapat bayi perempuan yang cukup sifat dibalut menggunakan kain batik berwarna hitam, dengan kesan gigitan semut di badannya.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati bayi seberat 2.12 kilogram itu dipercayai dilahirkan antara 5 hingga 7 pagi tadi, dan dicuci dengan air kotor sebelum ditinggalkan,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Mansor berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan penemuan tersebut dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.