Timbalan Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan duit yang dirampas dalam tangkapan sindiket penipuan pelaburan forex pada sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto, AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan pelaburan mata wang asing dan wang kripto berjumlah RM30 juta menerusi laman sesawang pelaburan palsu tumpas dengan tertangkap 24 suspek disyaki ahli sindiket itu.

Turut tertangkap ketua sindiket warga tempatan yang mendalangi kegiatan jenayah itu menggunakan gelaran datuk palsu kerajaan Pahang untuk menipu mangsa.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 57 tahun itu terdiri daripada 22 warga tempatan termasuk enam wanita manakala seorang lelaki Thailand dan seorang wanita Indonesia.

Katanya, kesemua tangkapan dilakukan pasukan JSJK Bukit Aman kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan forex dan beroperasi lebih kurang dua tahun dengan memperdaya mangsa menyertai pelaburan tidak wujud dan menjual perisian komputer bagi tujuan menganalisa situasi pasaran forex sebagai taktik meyakinkan mangsa.

“Lebih menarik sindiket ini juga membeli buku panduan bertajuk Forex Financial Fundamentals untuk memahiri skim supaya penipuan secara profesional itu tidak diragui mangsa.

“Mereka guna modus operandi membina laman sesawang palsu bagi melabur forex sebelum kesemua mangsa dipujuk membayar deposit secara tunai, pemindahan wang ke akaun bank sindiket dan matawang digital atau mata wang kripto.

“Mangsa kemudian akan berdagang dan keuntungan yang diperoleh dapat dikeluarkan pada peringkat awal pelaburan sebelum bertambah yakin dan memperkenalkan pelaburan kepada kenalan lain.

“Masalah mula timbul setelah keuntungan yang diperolehi tidak dpat dipindahkan ke akaun bank sendiri oleh mangsa melabur dan menyedari menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Mohd Kamaruddin, semasa serbuan dibuat, pasukan JSJK merampas 1, 000 keping wang palsu dolar Amerika $100 dan tujuh keping besi kecil warna keemasan disyaki bar emas palsu yang menjadi modal memperdaya mangsa.

Menurutnya, dalang atau ketua sindiket berkenaan seorang lelaki tempatan yang melakukan segala kegiatan terlarang dengan bersembunyi di sebalik identiti gelaran datuk palsu juga ditahan.

Justeru, tiga laporan polis diterima di Balai Polis Pandan Indah, IPD Ampang yang mana setiap mangsa mewakili 629 mangsa tertipu dengan 24 suspek ini dengan jumlah kerugian wang berjumlah RM30 juta

Enam kenderaan mewah antaranya Ferrari F340, McLaren, Mercedes Benz SLK200, 22 unit telefon bimbit, 10 komputer riba 14 buku kemahiran pelaburan asas forex, tiga fail dokumen syarikat pelaburan dan juga cop getah, sembilan buku cek pelbagai bank 15 keping kad ATM dan kredit, bingkai pengurniaan darjah kebesaran Pahang disyaki palsu antara barang dirampas dari suspek.

“Kereta mewah termasuk Ferrari dan McLaren dan wang RM30 juta adalah hasil penipuan dalam pelaburan yang digerakkan sindiket itu selama ini yang mana kesemuanya disita dan sedang menyiasat potensi saki baki dan pihak ketiga dalam kegiatan ini.

Mereka direman selama empat hari sehingga esok dan disiasat dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette