KUALA LUMPUR – Penyerang baharu Red Giant, Shahrel Fikri sah akan menyarungkan jersi nombor 10 yang dianggap nombor keramat dalam pasukan Selangor.
Menerusi jersi yang bernombor itu, ia sekaligus meneruskan legasi pemain-pemain terhebat negara sebelum ini.
Antara penyerang handalan yang pernah menggunakan nombor tersebut ialah legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari dan bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali.
Shahrel yang beraksi bersama pasukan Perak musim lalu sememangnya layak untuk diberi penghormatan itu dan buktinya apabila dia muncul penjaring terbanyak pemain tempatan musim lalu.
Malah, dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) Virtual 2020 juga turut menyaksikan dia dinobatkan selaku pemenang kategori penyerang terbaik sekaligus mengenepikan awang import.
Penyerang berusia 26 tahun itu sendiri berkongsi rasa teruja dan mengakui tidak sabar untuk membantu pasukan baharunya itu.
“Saya amat teruja,” katanya yang berkongsikan perkara itu di laman Instagram miliknya.
Dalam pada itu mengulas mengenai latihan minggu pertama yang berlangsung di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di Shah Alam bermula Isnin lalu, bekas penyerang Nakhon Ratchasima di Liga Thailand itu menjelaskan dirinya sedikit gementar.
Bagaimanapun, pada masa sama, beliau gembira selepas dapat berlatih bersama rakan pasukan dan barisan jurulatih yang baharu.
“Saya teruja dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru, jurulatih baru, pemain import baru dan kawan lama semasa latihan baru-baru ini.
“Walaupun saya rasa tak sabar untuk kembali berlatih, dalam masa yang sama saya sedikit gementar,” katanya di laman Facebook rasmi Selangor FC. – MalaysiaGazette