SAHABAT... Dari kiri Saai Dhanyaa,5, Erica Sofia Abdul Shafik,4 dan Wong Su Han,5 berpelukkan antara satu sama lain sambil mengayakan pakaian tradisional sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tadika Q-Dees, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 OGOS 2019
TIDAK dapat dinafikan lagi ketika ini Malaysia sedang dilanda masalah perkauman yang serius berikutan beberapa perkara termasuklah kesan daripada peralihan kuasa kepada kerajaan baru.
Hampir setiap hari kes penentangan serta hinaan terhadap sesuatu kaum atau etnik menjadi liputan utama di dada akhbar serta di kaca televisyen.
Media sosial yang dahulunya digunakan untuk mengeratkan hubungan sesama manusia kini berubah menjadi sebuah platform “pemusnah” nilai patriotik di dalam diri setiap rakyat Malaysia sehingga ia mula terkenal sebagai ruang untuk menghina serta menjatuhkan sesuatu kaum dengan kata-kata cacian dan ayat-ayat yang sensitif sehingga mengguriskan hati ramai pihak.
Masyarakat hari ini seakan-akan mementingkan perkembangan bangsa sendiri dan sanggup melakukan apa sahaja bagi menjatuhkan kaum lain atas alasan-alasan tertentu.
Pengorbanan serta jasa pahlawan-pahlawan negara suatu ketika dahulu seolah-olah tiada guna dan tiada makna untuk dikenangkan lagi.
Perkara ini membuatkan saya berasa agak kecewa kerana kemerdekaan yang kita nikmati selama puluhan tahun adalah tidak lain tidak bukan atas jasa tokoh-tokoh negara yang diwakili oleh pelbagai kaum. Bagi mencapai kemerdekaan, tokoh-tokoh ini mengorbankan nyawa mereka.
Namun, mengapakah pada hari ini, muncul pula golongan-golongan pendek akal yang berebut tanah air ini tanpa menyedari realiti kehidupan bahawa ia sememangnya bukan dan tidak akan menjadi milik sesiapa pun, selain Allah SWT pada akhirnya?
Kemerdekaan tanah air seperti tiada gunanya lagi buat segelintir pihak.
Mereka seolah-olah telah dirasuk dengan perasaan benci, amarah dan hasad dengki terhadap satu sama lain hanya disebabkan faktor perbezaan bangsa, agama, bahasa, budaya dan juga warna kulit.
Perkara ini tidak adil sama sekali!. Bangsa, agama atau warna kulit seseorang itu bukanlah atas pilihan mereka dan tiada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk mempersoalkan perkara ini kerana ia merupakan kuasa ciptaan tuhan.
Sebagai seorang manusia, adalah tidak wajar untuk kita menindas, apatah lagi cuba menjatuhkan manusia yang lain demi kepentingan diri sendiri.
Di manakah kewarasan akal fikiran segelintir pihak yang sengaja menggunakan isu-isu sensitif sebagai asas untuk menjatuhkan kaum lain?
Hasutan daripada golongan-golongan “pemberontak” ini mula melunturkan nilai patriotisme yang tertanam dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Baru-baru ini timbul kes sindir-menyindir sesama kaum di laman sosial yang menyaksikan beberapa individu saling berbalas kenyataan-kenyataan berbaur sindiran semata-mata untuk menghina sesuatu kaum sehingga menimbulkan
rasa tidak puas hati banyak pihak.
Isu ini bukan sahaja telah mengakibatkan pertelingkahan antara kaum di Malaysia namun berpotensi mencalarkan imej negara yang sekian lama dikagumi negara asing kerana keajaiban serta keistimewaannya penghuninya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Uniknya rakyat Malaysia yang dapat hidup bersatu padu di bawah satu bumbung walaupun berbeza identiti, bangsa, agama, bahasa, budaya dan warna kulit.
Ketidaksaksamaan layanan dan dominasi sesuatu kaum dalam sektor-sektor tertentu mampu mewujudkan jurang perkauman yang sangat dalam sekiranya tiada sebarang langkah proaktif diambil oleh pihak-pihak bertanggungjawab pada kadar yang segera.
Tiada guna kita saling bercakaran antara satu sama lain kerana Malaysia memerlukan kesemua penghuninya untuk terus berdiri sebagai satu negara yang utuh dan hebat di mata dunia.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berharap isu perkauman ini tidak akan berulang lagi agar generasi yang akan datang mampu meneruskan legasi kemerdekaan yang telah dicapai oleh nenek moyang kita pada suatu ketika dahulu.- MalaysiaGazette
Susila A/P Marathandavan
Pelajar Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media, Universiti Malaya

1 Komen

  1. Parti politik yang berasaskan kaum dan ugama patut diharamkan kalau berul kerajaan ingin mansuhkan perkauman . Selagi dibiarkan mereka2 inilah yang giat mencari keuntongan diri dengan menghasut rakyat

Comments are closed.