Kaum wanita India mengadakan protes bagi menuntut keadilan bagi kes rogol di negara itu. foto CNN

TAMIL NADU – Nasib tragis menimpa seorang wanita balu apabila  diculik, dirogol secara bergilir-gilir selama lima jam dan dicederakan di dalam premis sebuah kuil.

Mangsa yang memiliki dua orang anak itu turut diugut bunuh oleh dua suspek jika mengadu mengenai insiden itu kepada sesiapa sahaja termasuk polis.

Insiden menyayat hati itu menimpa mangsa, berusia 40 tahun yang menetap di daerah Nagapattinam di negeri Tamil Naadu, Rabu lalu.

Semasa kejadian sekitar 9 malam itu, mangsa sedang dalam perjalanan dari tempat kerja ke rumah kakanya.

Sebelum kejadian itu, mangsa pernah diganggu beberapa kali oleh dua lelaki tempatan.

Bagi mengelak gangguan suspek, mangsa dilaporkan telah berpindah ke rumah kakaknya bersama dua anaknya.

Mangsa yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran telah diekori dua suspek lelaki sebelum dihalang dan diculik sekitar jam 9 malam.

Di dalam kenderaan, dia dipukul dan diugut agar tidak menjerit.

Mangsa difahamkan mendiamkan diri bagi mengelak diapa-apakan oleh dua suspek.

Kedua-dua suspek itu kemudian bertindak mengheret mangsa ke dalam sebuah premis yang terletak dalam kuil Ganesha di Vandipettai, daerah Nagapattinam.

Mangsa kemudian dirogol secara bergilir-gilir selama lima jam dan turut dicederakan sebelum diacukan pisau dan diugut bunuh jika mendedahkan insiden itu.

Mangsa yang ditinggalkan di situ telah diselamatkan oleh orang awam di kawasan itu dan membuat laporan polis.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Besar Nagapattinam untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

Superintendan Polis Daerah Nagapattinam, Om Prakash Meena berkata,  kedua dua suspek yang bekerja sebagai buruh tapak binaan berjaya ditahan semalam.

Om berkata, mangsa kehilangan suaminya dua tahun lalu semasa bencana banjir Cyclone di Vedaranyam.

“Semasa kejadian mangsa telah menyerahkan segala barang kemas dan wang yang disimpan dalam beg tangan sebelum merayu kepada suspek melepaskannya.

“Namun kedua-dua pemuda itu tanpa belas kasihan merogol mangsa tanpa henti dan mencederakannya teruk.

“Mangsa sedang menerima rawatan rapi di hospital dan mengalami  trauma teruk rentetan insiden itu,” katanya. – MalaysiaGazette