Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ketika ditemubual oleh pengamal media selepas selesai Mesyuarat PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 09 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Hari ini hanya mesyuarat biasa, mesyuarat bulanan.

Itu jelas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali kepada media selepas menghadiri mesyuarat pusat parti itu, hari ini.

“‘Kita tiada bincang (mengenai hala tuju kerjasama UMNO dan Bersatu). Kita hanya adakan mesyuarat biasa saja,” katanya kepada media selepas meninggal ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut.

Awal hari ini kesemua kepimpinan utama Pas mengadakan mesyuarat Pas Pusat jam 10.30 pagi dipercayai untuk membincangkan mengenai hala tuju parti itu dengan UMNO dan Bersatu.

Khairuddin ketika menjawab pertanyaan media berkata, Pas tetap dengan pendirian untuk mempertahankan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama Bersatu.

“Pas seperti saya katakan, itu adalah tagline yang digunakan presiden untuk memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN),” katanya lagi.

Khairuddin merujuk kepada kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada awal bulan ini yang mana parti itu akan tetap akan mempertahankan MN dan PN serta menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan baru.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut menjelaskan Pas enggan masuk campur dengan persengketaan yang berlaku antara UMNO dan Bersatu.

“Itu urusan dalam mereka (UMNO dan Bersatu), kita teruskan pertemuan biasa,” katanya lagi.

Minggu lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 143 dari 191 bahagian UMNO mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin pada PRU15.

Jumlah itu mewakili 74.8 peratus daripada keseluruhan bahagian UMNO. – MalaysiaGazette