Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – ‘Semua okey di Kedah’.

Itu reaksi Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pertanyaan media  sama ada akan berlaku pertembungan tiga penjuru di semua kerusi sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kelak.

Katanya, kemelut politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memberikan kesan kepada pembahagian kerusi di negeri pimpinannya.

“Kita (Pas) di Kedah tidak ada masalah dengan UMNO, PPBM (Bersatu). Semua okey.

“Saya rasa tidak ada (pertembungan UMNO – Bersatu di Kedah,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat bulanan parti itu di ibu pejabat Pas, hari ini.

Dalam pada itu, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Perikatan Nasional (PN) Kedah sudah setuju untuk kekal bertanding di kerusi yang dimenangi parti gabungan itu dalam pilihan raya lalu.

Pengerusi Perhubungan PN Kedah itu berkata, perkara itu turut diputuskan bagi semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang diadakan pada bulan Mei 2018.

“Kita Pas akan pertahan semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi dalam pilihanraya lalu di Kedah, malah seluruh negara yang kita menang, kita kekal bertanding.

“Sama juga UMNO dan Bersatu, yang mana kawasan mereka menang di Kedah, mereka akan kekal mereka bertanding. Semua parti (Pas, UMNO dan Bersatu) bersetuju dengan formula itu (kekal bertanding kerusi yang sudah menang) tempat PH menang baru kita runding,” katanya lagi.

Mei tahun lalu PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari Bersatu.

Seramai 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada Pas, empat dari Bersatu, dua dari UMNO dan dua kerusi dari Bebas yang juga bekas ADUN PKR.

Untuk rekod, Kedah mempunyai 36 DUN. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Itu yang terbaik, secara prinsipnya semua kerusi UMNO, PAS & Bersatu satu lawan satu.

    Pertandingan 3 penjuru hanya disyorkan dikawasan2 yang mana kerusi UMNO telah diCURI oleh Bersatu!

    Mungkin syor ini boleh dipertimbangkan!

Comments are closed.