Mahdzir (dua dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM250,000 kepada Hasni sebagai bantuan kepada mangsa banjir di Johor.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya menghulur sumbangan berjumlah RM250,000 bagi membantu mangsa banjir di Johor.

Bantuan untuk Tabung Mangsa Banjir Negeri Johor itu disampaikan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Kota Iskandar, Johor Bahru hari ini.

Selain menyampaikan bantuan banjir, Mahdzir turut menyerahkan wang zakat perniagaan TNB berjumlah lebih RM2.1 juta kepada kerajaan Johor.

Cek diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dan disaksikan oleh Hasni.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki Datuk A. Shamsudin dan Pengurus Besar Negeri Johor, Bahagian Strategi dan Kawal Selia TNB, Mohamed Noh Seth.

Sebelum itu, Mahdzir melakukan kunjungan hormat ke atas Hasni dan mengadakan perbincangan tertutup bersama Menteri Besar Johor itu. – MalaysiaGazette