Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

BANGI – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih kekal teguh selagi tidak dibuktikan sebaliknya.

Itu tegas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali ketika mengulas perkembangan terkini kemelut politik negara.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya boleh dibuktikan di Dewan Rakyat yang berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Sehingga hari ini kerajaan masih kekal bertahan. Sebagai kerajaan bertanggungjawab kerajaan, kita akan teruskan melaksanakan tugasan kita sehingga ke saat akhir tempoh yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita.

“Rakyat tidak perlu gusar kerana mana-mana negara pun hatta Malaysia sendiri berlaku kekosongan tidak ada kerajaan walaupun sekejap,” katanya dalam sidang media merasmikan Palm Oil Economic Review and Outlook Virtual Conference 2021 di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang kehilangan satu sokongan setelah Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongannya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan PN kini kekurangan sokongan apabila hanya 110 Ahli Parlimen yang masih menyokong Muhyiddin.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, situasi politik negara kini boleh diibaratkan sebagai ‘goreng pisang yang panas dan akan sejuk’ selepas itu.

“Politik macam itu, macam pisang goreng juga, dia panas sejuk. Jadi kita biarkan politik berlalu, kita buat kerja kita.

“Saya tidak akan terkesan dengan apa sahaja isu politik yang berlaku kerana saya diberikan tugasan untuk menguruskan perladangan dan komoditi.

“Saya akan buat kerja saya sebaik mungkin dengan bantuan dan kesungguhan pegawai saya di peringkat kementerian,” katanya lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) yang juga Menteri Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan PN yang ada sekarang masih sah dan mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi.

Beliau menegaskan walaupun Ahmad Jazlan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, kedudukan kerajaan tidak terjejas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sekali air bah sekali pasir berubah, politik daun lalang, kejap sini kejap sana, apalah tak tetap pendirian lansung. Sekarang zaman ujian Allah akhir zaman Covit 19 dengan susah perit derita tak tertanggung oleh rakyat ni diutamakanlah tetapi ini tidak. Muhassabah diri dengan berakhlak mulia dan bersabarlah menunggu PRU 15.Ini semuanya mengutamakan nafsunafsi. Kenapa dan mengapa tak nak ikut Kalamullah Allah yang terjamin Dunia dan Akhirat. Wahai Bangsaku……………!

Comments are closed.