Suspek lelaki tempatan berusia 40-an berjaya dicekup dicheras dengan bantuan awam selepas terlibat kes jenayah pecah cermin kereta dan mencuri dalam kejadian kelmarin

KAJANG – Sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Jika setiap kali memecahkan cermin kenderaan suspek yang berusia 40 an sering kali terlepas namun nasib tidak menyebelahinya apabila dicekup polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan polis daripada seorang lelaki berumur 25 tahun pada jam 10.30 malam Sabtu lalu yang memaklumkan cermin kereta sebelah kiri miliknya telah dipecahkan.

“Bertindak atas maklumat, pada 10 Januari 2021 jam lebih kurang 12.30 pagi, bertindak atas maklumat orang awam, anggota polis dari Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn telah berjaya menahan suspek seorang lelaki tempatan di Perkarangan Dataran C180, Cheras.

“Suspek ditangkap dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, semakan mendapati suspek memiliki 20 rekod jenayah lampau termasuk kes pecah cermin kereta dan curi.

Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

“Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara dan didenda serta dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua.

“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Affiq Shahmey di talian 013-2490964,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.