Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Negara mencatatkan kes positif tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 3,337 kes yang menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kini sebanyak 147,855 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 33,989 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, tujuh daripadanya kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah sebanyak 3,330
kes.

Bagi kes penularan dalam negara, 2,142 kes adalah warganegara Malaysia manakala 1,188 kes adalah bukan warganegara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,036 kes atau 31.0 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 795 kes atau 76.7 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 460 kes atau 13.8 peratus dan Sabah sebanyak 389 kes atau 11.7 peratus,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 153 kes atau 4.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (63 kes), Kluster Tropika (51 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (34 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes), Kluster Tembok Choh, Kluster Tembok Gajah dan Kluster Pagar Siput masing-masing satu kes.

Noor Hisham menambah, terdapat 195 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 86 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Ujar beliau, terdapat pertambahan 15 kes kematian Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 578 kes atau 0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,710 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 113,288 kes atau 76.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette