Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 14.8 peratus pada November 2020 kepada 42,554 tan metrik berbanding 49,943 tan metrik pada bulan sebelumnya, turun sebanyak 19.7 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 56,522 tan metrik pada November 2020, meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding 54,492 tan metrik pada Oktober 2020.

Menurutnya, China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 57.8 peratus daripada jumlah eksport pada November 2020 diikuti Jerman (9.1%), Iran
(5.1%), Finland (3.4%) dan Turki (3.4%).

Sarung tangan getah masih merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM4.4 billion pada Oktober 2020, meningkat sebanyak 0.9 peratus kepada RM4.5 billion pada November 2020. Amerika Syarikat, Jerman dan China merupakan antara negara pengimport tertinggi sarung tangan getah.

Stok getah asli meningkat pada November 2020 iaitu sebanyak 259,440 tan metrik berbanding 258,052 tan metrik pada Oktober 2020 dengan peningkatan 0.5 peratus.

”Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan peningkatan kepada 620.76 sen sekilogram berbanding Oktober 2020 (576.14 sen sekilogram). Getah Mutu Malaysia 20
(G.M.M. 20) turut meningkat kepada 632.74 sen sekilogram berbanding 621.76 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,”, katanya lagi.

Penggunaan getah asli di peringkat domestik pada November 2020 ialah 44,236 tan metrik, menurun sebanyak 8.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Manakala pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu penggunaan sebanyak 33,110 tan metrik atau 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette