Beberapa hospital swasta di negara ini telah bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Beberapa hospital swasta di negara ini telah bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, komitmen dan persetujuan itu dinyatakan menerusi beberapa siri perbincangan dengan pemegang taruh hospital swasta termasuk Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Kerajaan, katanya komited untuk mengukuhkan kerjasama di antara sektor kesihatan awam dan swasta dalam menangani pandemik global berkenaan.

Katanya, antara kerjasama yang telah dijalankan sepanjang pandemik melalui inisiatif menggunakan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta dan ia akan terus dipergiatkan lagi.

“Sukacita dimaklumkan bahawa hasil perbincangan tersebut, kerajaan telah memperoleh komitmen daripada beberapa buah hospital swasta untuk menerima rujukan dan merawat pesakit Covid-19, bergantung kepada kapasiti dan kepakaran yang sedia ada.

“Sehingga kini, pihak APHM telah mengenal pasti sebanyak 1,138 buah katil termasuk 70 buah katil kritikal di 97 buah hospital swasta di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM melalui CPRC Perkhidmatan Hospital dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sedang memperhalusi mekanisme cadangan kerjasama ini dengan lebih lanjut bersama pihak APHM, Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia.

Segala perkembangan akan diumumkan dalam masa yang terdekat, katanya.

“KKM berharap kerjasama dan usaha yang dijalankan oleh semua pihak ini akan dapat memutuskan rantaian jangkitan dan penularan Covid-19 di negara kita,” katanya lagi.-MalaysiaGazette