Anggota penguatkuasa MPS melakukan pemeriksaan di pasar awam bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung pasar awam, kedai serta kiosk pasar raya. Gambar: Facebook MPS

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan sebanyak 21 kompaun atas pelbagai kesalahan terhadap peniaga dan penjaja sekitar kawasan pihak berkuasa tempatan itu.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memiliki lesen, menimbulkan halangan di kaki lima dan kacau ganggu.

Beliau berkata, MPS turut menyita barangan dua dari 263 premis yang diperiksa dan mengeluarkan enam notis arahan henti aktiviti.

“MPS akan terus memantau untuk memastikan setiap peraturan dan arahan dipatuhi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Semua pengunjung dan peniaga juga diingatkan memberi kerjasama serta membantu usaha kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, MPS melakukan pemeriksaan bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung pasar awam, kedai serta kiosk pasar raya.

Sementara itu Mohd Zin berkata, keadaan premis niaga sekitar kawasan pihak berkuasa tempatan berkenaan terkawal dan pengunjung mematuhi peraturan ditetapkan. – MalaysiaGazette