Murid pelajar tahun satu disaran menjalani program transisi sebelum memulakan proses pembelajaran yang sebenarnya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Murid pelajar tahun satu disaran menjalani program transisi sebelum memulakan proses pembelajaran yang sebenarnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, proses itu bagi membantu murid baharu melangkah ke sesi persekolahan dengan norma baharu menguasai 3M iaitu menulis, membaca dan mengira.

Jelasnya, ia ekoran murid darjah satu tahun ini hanya menjalani pra-sekolah dalam tempoh yang singkat pada tahun lalu.

“Penguasaan 3M bagi golongan ini tentunya menjadi kebimbangan kita. Pra-sekolah (tahun lalu) tempoh (bersemuka) di sekolah pendek, mungkin terdapat perbezaan daripada segi komunikasi dan bagaimana pembelajaran itu di rumah.

“Kita mencadangkan proses transisi sebelum murid menginjak ke tahun satu iaitu selama selama 43 hari bermula ketika sesi persekolahan pada 20 Januari lalu,” katanya.

Habibah berkata demikian ketika sidang media yang dijalankan atas talian hari ini untuk memperjelaskan operasi persekolahan tahun ini yang bermula 20 Januari yang lalu.

Tambah Habibah, selain modul pembelajaran yang telah ditetapkan, guru boleh melaksanakan program transisi terlebih dahulu untuk membantu murid darjah satu menyesuaikan diri.

“Selepas guru melakukan program yang sudah dirancang, guru berkenaan boleh melaksanakan program transisi ini. Dari segi berapa ramai murid, kita berharap semua murid daripada pra-sekolah ke Tahun Satu melalui program transisi ini,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast