M. Saravanan

KUALA LUMPUR – “Cukuplah MB Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) menuding jari demi menutup kelemahan diri sendiri. Cukuplah juga sandiwara anda di Facebook dan Twitter.

“Baik angkat sahaja telefon, hubungi Timbalan Menteri Sumber Manusia yang mewakili Pas dari negeri Kedah sendiri untuk mengetahui secara terperinci akan usaha dan inisiatif Kementerian Sumber Manusia,” kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang memintanya memberi fokus kepada kerja hakiki sebagai Menteri Sumber Manusia daripada membuang masa memainkan isu cuti peristiwa Thaipusam di Kedah atas kepentingan politik.

Menteri Besar itu berkata, selaku menteri, beliau boleh meminta Kerajaan Persekutuan mengumumkan perayaan Thaipusam sebagai cuti umum seluruh negara tanpa perlu membuat ‘bising’.

Menurut Saravanan, sebagai menteri beliau komited untuk melaksanakan tanpa membelakangkan kebajikan dan aspirasi tenaga kerja Malaysia.

Menurutnya, beliau akan cuba memperbaiki prestasi pada masa depan jika terdapat kepincangan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan itu.

“Walaubagaimanapun, saya hairan kenapa seorang MB tidak tahu mengenai pelbagai inisiatif dan strategi yang terus dirancang dan dilaksanakan dalam menyantuni keperluan sektor tenaga kerja dan kelangsungan ekonomi negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC juga memberikan kata dua nasihat kepada Muhammad Sanusi terutamanya ketika rakyat sedang sengsara menghadapi pandemik Covid-19.

Muhammad Sanusi Md Nor

Katanya, Menteri Besar Kedah itu sepatutnya lebih peka terhadap keperluan rakyat Kedah dan tidak seharusnya mengejar populariti dengan membuat kenyataan sensitif.

Berikutan itu, beliau meminta Muhammad Sanusi mengambil tindakan terhadap tuduhan kilang haram yang muncul bagai cendawan di Kedah, sekali gus membantu usaha Kementerian Sumber Manusia membasmi kilang haram.

“Segala inisiatif dan tindakan Kementerian Sumber Manusia dimaklumkan kepada rakyat secara berterusan. Tetapi, rakyat negeri Kedah pula dikejutkan secara beterusan dengan kenyataan sensasi MB seperti penemuan tanah nadir RM43 trillion, perobohan kuil dan pembatalan cuti Thaipusam,” ujarnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.