Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing membawa keluar sebanyak RM288.12 juta pada minggu lalu apabila menjadi penjual setiap hari.

Ketika pasaran dibuka semula pada Isnin minggu lalu, pelabur asing menjual sebanyak RM57.15 juta bersih ekuiti tempatan, dengan peruncit dan institusi tempatan sebagai pembeli bersih, masing-masing pada jumlah RM15.97 juta dan RM41.18 juta.

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan berkata, pelabur asing bertindak sebagai penjual bersih setiap hari susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di beberapa negeri termasuk pusat utama ekonomi negara.

Aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Khamis iaitu sebanyak RM117.11 juta manakala paling kecil berjumlah RM8.87 juta pada hari Rabu.

Bagaimanapun, menurutnya, peruncit menjadi pembeli bersih setiap hari minggu lalu dengan belian terbesar direkodkan pada hari Khamis sebanyak RM172.95 juta dan belian terkecil pada hari Jumaat sebanyak RM71.17 juta.

Sama seperti tingkah laku pelabur asing, minggu lalu turut menyaksikan aliran negatif dalam kalangan institusi tempatan.

Belian direkodkan pada hari Isnin dan Jumaat dengan aliran masuk bersih yang kecil, masing-masing di bawah RM50 juta.

Manakala aktiviti jualan pula lebih besar kepada RM138.03 juta dengan aliran keluar terbesar pada hari Selasa dengan jumlah RM72.59 juta.

Sejak awal 2021, secara kumulatif belian peruncit di pasaran ekuiti hanya berjumlah RM1.16 bilion.

Sementara itu, institusi tempatan dan pelabur asing pula menjadi penjual bersih, masing-masing dengan rekod sebanyak RM862.97 juta dan RM299.09 juta.

Firma penyelidikan ini berkata, berbanding dengan tiga pasaran Asia Tenggara yang dijejaki pada minggu lalu, Thailand dan Indonesia merekodkan asing aliran masuk bersih sedangkan Filipina dan Malaysia aliran keluar bersih.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan penurunan mingguan sebanyak 9.49 peratur pada tahun ini dalam nilai perdagangan harian purata (ADTV) sementara pelabur asing dan institusi tempatan, masing-masing mengalami penurunan dalam ADTV sebanyak 23,16 peratus dan 7.66 peratus masing-masing. – MalaysiaGazette