Lim Suet Ling

KUALA LUMPUR – UOB Asset Management (Malaysia) (UOBAM) hari ini melancarkan United-i Asia ESG Income Fund (UiAIF) yang bertujuan memberikan pelabur runcit dividen pendapatan dan peningkatan modal dalam jangka masa sederhana hingga panjang melalui pelaburan yang mampan.

Dana ini melabur dalam portfolio terpelbagai merangkumi ekuiti dan instrumen hutang yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat di seluruh rantau Asia (tidak termasuk Jepun) yang mematuhi prinsip Syariah, di samping memberi pertimbangan kepada faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam model dan amalan perniagaan mereka.

Prinsip Syariah dan pelaburan mampan menggalakkan pengawasan tadbir urus dan penciptaan nilai, oleh itu, menggabungkan kedua-dua pendekatan ini akan mewujudkan portfolio yang lebih kukuh untuk manfaat jangka panjang pelabur.

Pelaburan berasaskan Syariah melarang faedah, pinjaman sekuriti dan jualan singkat.

Ia juga mengandungi penyaringan negatif yang mengecualikan sektor seperti tembakau, alkohol dan kilang arak, senjata dan persenjataan, serta produk tidak halal yang lain.

Ini dilengkapi dengan pelaburan mampan yang menggunakan penyaringan positif sebagai kaedah memilih syarikat terbaik yang menawarkan produk dan perkhidmatan mesra alam, atau mempunyai amalan perniagaan yang bertanggungjawab secara sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM, Lim Suet Ling berkata, UiAIF sesuai untuk pelabur runcit yang mempunyai profil risiko sederhana.

Ia ditawarkan dalam Ringgit Malaysia, Dolar Australia dan Dolar Amerika Syarikat dengan pelaburan minimum awal masing-masing sebanyak RM1,000, AUD1,000 dan AS$1,000. – MalaysiaGazette