Syed Saddiq Syed Abdul Rahman MUDA Armada CBT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PADA 24 Januari 2021, Syed Saddiq sekali lagi buat kecoh di media massa apabila beliau
mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, telah cuba memujuknya untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu syarat kelulusan Parti MUDA oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Menurut Saddiq dalam satu afidavit mahkamah, Hamzah telah menyarankan untuk Ahli
Parlimen Muar tersebut untuk tidak menghadiri sesi Dewan Rakyat ketika proses pengundian Rang Undang-undang (RUU) kerajaan dijalankan. Strategi ini secara langsung boleh mengurangkan jumlah undian pihak pembangkang di Dewan Rakyat, lebih-lebih lagi apabila kerajaan PN hanya mempunyai majoriti tipis sepanjang beberapa bulan yang lepas.

Saddiq sudah sedia maklum akan ciri-ciri Hamzah sebagai ‘dark horse’ politik yang wajar dijauhi. Seperti mana waktu malam Langkah Sheraton tersebut, Saddiq dalam satu temubual radio berkata bahawa beliau telah dapat menjangkakan bahawa peristiwa tersebut akan berlaku. Kalau begitu, mengapa Saddiq tetap ke Hotel Sheraton untuk menghadiri perjumpaan tersebut?

Kehadirian Saddiq telah secara tidak langsung memberi kredibiliti kepada usaha untuk
menjatuhkan kerajaan PH menerusi pujukan dan tawaran untuk berpaling tadah. Jelas sekali, kerajaan PH kemudiannya tumbang dan menyebabkan kemelut politik tersebut berterusan sehingga ke hari ini.

Sebagai seorang ahli politik, Saddiq mempunyai akses kepada maklumat-maklumat yang tidak diketahui rakyat. Namun, Saddiq hanya berdiam diri apabila ditanya berkenaan isi-isi perbincangan Langkah Sheraton tersebut, sehinggalah terjadinya pertukaran kuasa kepada Tan Sri Muhyiddin.

Saddiq hanya membuka perbincangan ini setelah beberapa bulan kerajaan PN memegang
tampuk kuasa, apabila rakyat mula mempertikai keberkesanan kepimpinan PN secara terbuka. Kalau sebelumnya Saddiq merupakan pemimpin nasionalis yang berpaksikan ketuanan Melayu, kini Saddiq telah melabelkan semula dirinya sebagai pemimpin muda untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Tidakkah aneh untuk Saddiq bertukar idealogi politik hanya beberapa bulan selepas terpaksa melepaskan jawatan sebagai pemimpin sayap muda Parti BERSATU? Strategi ini tidak ubah seperti taktik Machiavelli yang sering diguna pakai Tun Mahathir. Saddiq telah banyak mempelajari cara Tun Mahathir mengaburi persepsi ramai untuk memenangi kerusi politik. Tun Mahathir sendiri merupakan seorang nasionalis Melayu yang terpaksa mengubah identiti politik beliau kepada seorang yang lebih inklusif pada awal 70an selepas dipulaukan pengundi-pengundi Cina kerusi Kota Setar.

Dengan umur Tun Mahathir yang sudah lanjut, Saddiq menyedari bahawa beliau tidak lagi
boleh lagi menangguk undi pengundi Melayu pedalaman selagi adanya pengaruh PN terhadap demografi tersebut. Oleh itu, Saddiq telah menubuhkan Parti MUDA untuk memastikan kerjaya politiknya kekal relevan mengikut kehendak semasa.

Sehingga kini, umum masih tidak jelas apa sebenarnya yang didukung Parti MUDA. Walaupun Saddiq kini duduk bersama barisan pembangkang PH, pada hakikatnya Saddiq tidak berdiri untuk menolak pengundian pertama Bajet 2021. Ini menunjukkan bahawa Saddiq masih berbelah bahagi sama ada untuk menyokong PH atau PN.

Seperti yang disebut dalam afidavit terhadap Hamzah Zainuddin, Saddiq perlu memberikan komitmen kepada Tan Sri Muhyiddin untuk mempercepatkan pendaftaran Parti MUDA. Persoalannya, benarkah Saddiq mengambil keputusan untuk mengambil tindakan mahkamah atas kelewatan RoS meluluskan pendaftaran Parti MUDA, ataupun atas sebab-sebab lain?

Afidavit mahkamah bukanlah satu bukti konklusif niat seorang ahli politik yang hipokrit.
Adalah sedia maklum bahawa Saddiq turut mempunyai kes polis berikutan kehilangan duit berjumlah RM250,000 yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Sebagai rakyat marhaen, kita hanya boleh tunggu dan lihat.

Shahrul Naim, pembaca MalaysiaGazette