Gambar hiaan
KUALA LUMPUR – Persatuan Hospital Swasta Malaysia mengesahkan pesakit yang disahkan positif Covid-19 boleh mendapat rawatan di hospital swasta, tetapi perlu menyeluk saku sendiri.

Presidennya, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, pesakit tidak boleh mengharapkan rawatan percuma kerana hospital swasta tidak menerima sokongan kewangan kerajaan.

Mengenai liputan oleh insurans, Kuljit berkata, pesakit perlu berunding dengan syarikat insurans dan ia bergantung sama ada insurans perubatan berkenaan meliputi kos rawatan untuk Covid-19.

“Adalah mustahil untuk mendapat rawatan percuma atau murah kerana hospital swasta perlu menanggung semua perbelanjaan.

“Hospital swasta telah berkorban dengan mengosongkan wad dan aras tertentu bagi menerima pesakit Covid-19,” katanya kepada China Press.

Ditanya sama ada terdapat pesakit yang berjaya menuntut insurans untuk kos rawatan Covid-19 di hospital swasta, Kuljit berkata, beliau tidak pasti mengenainya kerana ia bergantung kepada pesakit dan juga syarikat insurans.

Katanya, kerajaan telah menyeru pesakit yang mampu atau dilindungi insurans dan syarikat untuk mendapat rawatan di hospital swasta memandangkan hospital kerajaan tidak dapat menerima semua pesakit.

Menurutnya, pesakit bagaimanapun perlu menghubungi hospital swasta untuk memastikan terdapat kekosongan katil.

“Setakat ini, tiada hospital swasta yang mengalami isu penuh dan hampir semua hospital swasta boleh menerima pesakit,” katanya. – MalaysiaGazette