Pondok telefon awam yang penuh dengan iklan peminjam wang haram dan iklan sewa rumah ditampal semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 24 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Datuk Ramesh Rao Krishnan Naidu menyifatkan sindiket peminjam wang haram atau Ah Long kini semakin mengganas.

Malah mereka berani mencabar undang-undang negara.

Menurut Ramesh, perkara itu tidak akan selesai dan akan berulang jika undang-undang tidak dipinda,

“Undang-undang Malaysia perlu dirombak semula, kerana jika kita lihat terdapat ramai Ah Long ditangkap dan dimasukkan dalam penjara namun telah diikat jamin dengan jumlah wang jaminan yang tidak masuk akal.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Datuk Ramesh Rao Krishnan Naidu (dari kanan) dan bekas ahli DAP, Tony Tan (dari kiri) memberikan kenyataan dalam sidang media maya hari ini. foto facebook Ramesh Rao

“Malah, peguam yang membela pihak ini juga tidak sepatutnya wujud kerana disebabkan mereka juga semua Ah Long yang sudah ditangkap dapat dikeluarkan semula,” katanya pada sidang media secara maya di laman Facebook hari ini.

Sementara itu, bekas ahli DAP, Tony Tan berkata, beliau telah menerima aduan seorang wanita berbangsa Cina yang mendakwa dia telah menerima banyak panggilan daripada pelbagai orang yang tidak dikenali walaupun sudah melunaskan pinjaman.

“Mangsa ada menyatakan kepada Ah Long untuk meminjam wang sebanyak RM3,000, namun hanya diberikan RM2,200 kerana agensi tersebut telah menolak ‘interest’ (faedah) sebanyak RM800.

Antara mangsa yang membuat laporan kerana telah ditipu oleh Ah long, foto facebook Ramesh Rao

“Walaupun Ah Long sudah menerima wang pinjaman yang sudah dilunaskan, mereka masih menuntut pembayaran sebanyak RM800 setiap 20 hari sehingga menjadikan jumlah keselurahan mencecah ratusan ribu.

“Ah Long zaman sekarang tiada sifat takut dan seolah-olah mencabar sistem undang-undang negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Tony berkata, trend baharu Ah Long adalah dengan memberikan pinjaman wang tanpa memerlukan peminjam mengisi mana-mana borang atau dokumen.

“Selain itu, duit yang dipinjam akan terus ditolak iaitu sebanyak RM800 daripada jumlah pinjaman untuk dijadikan sebagai faedah.

“Jika peminjam tidak dapat membayar wang yang dipinjam, Ah Long akan menjual nombor telefon mangsa dan berikan kepada Ah Long lain untuk mereka meminjam wang.

“Hal ini menyebabkan mangsa akan membuat pinjaman daripada pelbagai Ah Long sehingga hutang mereka menjadi ratusan ribu,” ujarnya. -MalaysiaGazette