Antara barang rampasan dalam satu serbuan IPD Dang Wangi di Bukit Bintang.

KUALA LUMPUR – Lima buah premis di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang di sini dipercayai dijadikan tempat untuk penipuan pelaburan atas talian.

Ia terbongkar dalam satu serbuan malam tadi, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Dalam serbuan yang sama, katanya, polis menahan seramai 11 suspek dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.

“Dalam 11 orang suspek telah berjaya ditangkap iaitu enam lelaki dan empat wanita warganegara China serta seorang wanita warganegara Indonesia yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 47 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Turut dirampas ketika operasi berkenaan ialah sebanyak 26 buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer riba, tiga unit modem, 10 keping kat ATM, lima buah beg berjenama termasuk Wang tunai RM 53,678. 00, USD 85, Cambodia Riel 1300, RMB 1840.

Menurut Zainal, semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula pada 30 hingga 2 Februari 2021.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat di dalam kegiatan penipuan atas talian/ pelaburan tidak wujud.-MalaysiaGazette