Ismail Sabri Yaakob

GOMBAK – Kerajaan tidak akan menutup sepenuhnya sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan

Ia bagi mengelak peniaga kecil-kecilan dan golongan B40 terkena tempias daripada pelaksanaan perintah itu.

Langkah itu juga bagi mengimbangi kepentingan ekonomi, kesihatan dan kehidupan rakyat ketika berhadapan dengan penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, walaupun nyawa lebih penting ketika negara berhempas pulas menyelamatkan rakyat dari Covid-19, kerajaan juga bertanggungjawab terhadap ekonomi rakyat, khususnya golongan B40.

Berikutan itu, katanya, warung dan gerai di tepi jalan dibenarkan beroperasi yang mana pendapatan mereka berkurangan 50 peratus.

“Cuba bayangkan, kalau tutup terus warung atau kedai tersebut, boleh survive atau tidak golongan miskin ini dan juga perniagaan mikro kerana kita kena fikir, walaupun tahu nyawa sangat penting tapi dalam masa sama kita perlu menjaga kepentingan ekonomi rakyat yang miskin terutama B40.

“Mereka yang hidup secara kais pagi makan pagi kais petang makan petang, yang hidup bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian untuk beri makan anak pada hari esok.

“Dulu ketika ditutup sepenuhnya selama hampir tiga bulan menerusi PKP, saya dimaklumkan oleh mereka, duit simpanan pun dah habis, dan keluh kalau kerajaan tutup semua perniagaan termasuk warung dan sebagainya. Mereka tidak tahu macam mana nak hidup,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas tinjauan di Sekatan Jalan Raya Tol Gombak Arah Utara hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zambrose Mohamad Zaid dan Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed serta Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

Menurut Ismail Sabri, proses penutupan semua sektor akibat PKP untuk melandaikan keluk boleh memberi kesan teruk kepada kelangsungan hidup rakyat.

“Walaupun kita jaga kesihatan rakyat dari Covid-19, bak kata orang, kita tak mahu rakyat kita mati kerana Covid-19 tetapi kita juga tidak mahu rakyat kita mati kerana tak makan atau tidak ada pendapatan untuk sara keluarga,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. masalah sekarang ialah pekerja asing terutama daripada negara yg kurang penekanan suntikan imunisasi sejak lahir tidak dipantau setiap pergerakan.Pakar kesihatan awam negara kita tahu ke tentang hal ini ini kerana mereka merujuk kepada theory tanpa fakta yg sahih ,sentiasa dibawah penyaman udara sehingga lupa mereka yg susah atau B40/M40 kehidupan semakin terhimpit.
    Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.” itulah yg layak bagi yg mengaku ‘PAKAR’

Comments are closed.