Foto hiasan. Petugas barisan hadapan merehatkan diri selepas memanggil para penghuni untuk melakukan ujian saringan berikutan peningkatan kes penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Central Spectrum Klang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor akan meneruskan bantuan makanan kepada kira-kira 14,162 petugas barisan hadapan di negeri itu.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, bantuan akan diagihkan kepada petugas kesihatan dan  pasukan Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Seramai 9,822 petugas kesihatan dan 4,340 SJR akan menerima bantuan.

“Tujuan bantuan diberikan adalah untuk menghargai semua petugas yang terbabit dalam memerangi pandemik Covid-19,” katanya pada hari ini.

Menurut Azri, sebanyak 12 hospital, 10 pejabat kesihatan daerah dan Jabatan Kesihatan Daerah telah menerima bantuan pada 20 Januari lalu sehingga hari ini.

“Bagi pasukan SJR pula, bantuan makanan ini sudah mula diagih 27 Januari lalu dan akan diteruskan sehingga 9 Februari ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette