Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) meningkat 0.5 peratus kepada 110.1 pada suku keempat 2020 daripada 109.6 dicatatkan pada suku tahun sama pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata subsektor utama yang menyumbang kepada peningkatan indeks ini ialah penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (1.5 peratus), aktiviti hartanah (1.5 peratus), kesihatan (1.3 peratus), pengangkutan (0.9 peratus) dan pendidikan (0.6 peratus).

Bagaimanapun, indeks untuk kesenian, hiburan dan rekreasi serta maklumat dan komunikasi, masing-masing menunjukkan penurunan 2.2 peratus dan 0.1 peratus manakala indeks profesional tidak berubah, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata perbandingan suku tahunan menunjukkan penurunan indeks kepada 0.2 peratus.

“Penurunan ini didorong oleh subsektor berikut — pengangkutan (0.9 peratus), kesenian, hiburan dan rekreasi (0.9 peratus), aktiviti hartanah (0.2 peratus) dan pendidikan (0.1 peratus).

“Subsektor penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman dan kesihatan, masing-masing menunjukkan peningkatan 0.3 peratus dan 0.1 peratus manakala indeks profesional serta maklumat dan komunikasi tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir berkata susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) fasa kedua melibatkan temuramah secara bersemuka akan disusun semula.

“Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci secara dalam talian (e-Census) yang akan dibuka semula,” katanya.

Maklumat lanjut berkaitan Banci Malaysia 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020.- BERNAMA