Warga asing mengambil sampel ujian saringan Covid-19 berikutan mulai hari ini sektor perindustrian dan pembinaan diwajibkan mengambil ujian calitan untuk setiap pekerja asing bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 299 orang daripada 8,717 pekerja asing yang menjalani ujian saringan semalam disahkan positif Covid-19.

Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember 2020, seramai 305,620 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan yang melibatkan 13,202 majikan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah ini seramai 6,028 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 299,592 lagi adalah negatif.

Sehingga kini, sebanyak 1,264 buah klinik terlibat dengan program saringan itu.

Bermula 1 Februari lalu, kerajaan mewajibkan semua majikan di seluruh negara memastikan pekerja mereka menjalani ujian saringan dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing.

Dalam pada itu, satu daripada sembilan tapak pembinaan yang diperiksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semalam didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 15,063 pemeriksaan melibatkan 8,549 tapak binaan sejak 20 April 2020.

Ismail dalam kenyataan berkata, seramai 643 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dan daripada jumlah itu, 623 dikompaun manakala 20 individu direman.

Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (144), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (112), tiada penjarakan fizikal (133), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (34), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42) dan lain-lain (66).

Katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia telah membuat 73,561 pemeriksaan semalam, bagi
memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan. – MalaysiaGazette