Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof

PUCHONG – Malang tidak berbau bagi seorang juruteknik apabila maut setelah terjatuh ketika beliau sedang melakukan penyelenggaraan pendingin hawa di rumah pelanggan di tingkat 3 sebuah kondominium di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan Mers 999 daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki tempatan terjatuh dari tingkat tiga Blok B Kondominium Nilam Puri di Bandar Bukit Puchong 2, Sepang pada jam 12.51 tengahari.

Bertindak atas maklumat yang diperolehi di Bilik Gerakan IPD Sepang, Sarjan Danny bersama Ketua Balai Polis Putra Perdana telah bergegas ke tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 50-an bekerja sebagai penyelenggara dan pemasang penyaman Udara (Aircond Technician) syarikat kepunyaan diri dan adiknya kembarnya yang didaftar atas nama S & K Aircond Services.

“Menurut adik kembarnya, semasa kejadian pada jam 12 tengahari itu, dia dan mangsa (abang kembar) sedang memasang dan membuka aircond di rumah pelanggannya di tingkat tiga kondominium itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wan Kamarul Azran, selepas 10 minit memulakan kerja adik mangsa terdengar jeritan mangsa yang berada di kondominium itu lalu berlari ke arah suara itu dan mendapati abangnya telah jatuh pada ketinggian kira-kira 40 kaki (12 meter)

Tambah beliau adik mangsa bergegas turun ke tingkat bawah dan mendapati abangnya terlantar keadaaan berlumuran darah.

Menurutnya, adik mangsa terus menghubungi hospital dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan tangan kanan disyaki telah patah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan punca kematian ialah pelbagai kecederaan disebabkan jatuh daripada ketinggan, ujarnya. – MalaysiaGazette