Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Pelbagai cabaran dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.

Ia termasuk mendidik warga pasukan beruniform itu sendiri untuk memahami tanggungjawab serta tugas yang perlu dipraktikan mengikut akta tersebut dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, seramai 47,000 pegawai dan anggota polis digemblengkan untuk tugasan baharu seperti sekatan jalan raya (SJR) serta pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan masyarakat membudayakan norma baharu.

Jelas Abdul Hamid, selaku orang utama pasukan beruniform itu beliau perlu membuat pembahagian yang strategik bagi memastikan tugas hakiki PDRM dalam membanteras jenayah tidak tergganggu walaupun sebahagian kekuatan tersebut dikerah untuk tugasan menguatkuasakan Akta 342.

“Saya akui tanggungjawab itu amat berat kerana bidang penjagaan keamanan PDRM amat luas termasuk di darat, udara mahupun laut namun, saya perlu gemblengkan tenaga 47,000 individu untuk melaksanakan tugas pemantauan Covid-19.

“Kita kena terima hakikat bahawa musuh yang hendak diperangi itu tidak dapat dilihat tetapi berada di mana-mana jadi kita terpaksa membuat inovasi tertentu untuk menyesuaikan tugasan dan tanggungjawab tersebut,” katanya dalam satu temu bual khas bersama MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

Menurut beliau, langkah pertama diambil pihaknya ialah memberi pendedahan secara terperinci kepada setiap lapisan petugas PDRM di lapangan bagaimana untuk mengambil tindakan mengikut SOP norma baharu dalam menguatkuasakan Akta 342

“Bidang kuasa polis di bawah Akta 342 mesti dijelaskan kepada warga PDRM agar mereka menghayati mengapa undang-undang iti dibuat sedemikian rupa.

“Bayangkan kita sudah biasa menangkap orang melakukan kesalahan jenayah tapi penugasan kali ini menunjukkan kesalahan tersebut bukan jenayah kekerasan tetapi mampu merisikokan nyawa orang lain dan diri sendiri.

“Walaupun ada sedikit aduan serta ketidakpuasan hati daripada orang ramai tentang penguatkuasaan yang dilakukan pihak polis, namun setakat ini, Alhamdulillah saya yakin warga PDRM telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin,” ujar Abdul Hamid.

Pada 18 Mac 2020, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bagi mencegah penularan baharu wabak Covid-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.- MalaysiaGazette