Sebuah premis nasi kandar di Jalan Telekom, Bagan Luar di sini diarah tutup kerana gagal mematuhi piawai kebersihan yang ditetapkan.

BUTTERWORTH – Sebuah premis nasi kandar di Jalan Telekom, Bagan Luar di sini diarah tutup semalam kerana tidak mematuhi piawai kebersihan yang ditetapkan.

Operasi bersepadu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia yang dilakukan jam 7.30 malam itu turut memeriksa berapa premis makanan sekitar daerah tersebut.

Tempat menyimpan barang sejuk beku kotor antara kesalahan peniaga.

Antara kedai yang diperiksa terdiri daripada nasi kandar, masakan Thai serta kedai kopi.

MBSP dalam satu kenyataan berkata, pelbagai kesalahan dikesan dalam operasi tersebut dan termasuk gagal mematuhi syarat pelesenan.

“Kita telah mengeluarkan beberapa notis dan kompaun atas pelbagai kesalahan antaranya berkenaan kebersihan serta gagal memakai aksesori semasa memasak.

“Selain itu, kita juga mengeluarkan kompaun halangan kerana meletak kerusi meja tanpa permit MBSP.

MBSP menyita peralatan peniaga yang menghalang laluan orang awam.

“Tindakan menyita peralatan perniagaan yang menyebabkan halangan kepada orang awam turut dilakukan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam perkembangan sama, MBSP turut menasihatkan peniaga agar sentiasa patuh dengan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette