Pekerja mengambil peluang membersihkan alat senaman berikutan pusat gimnasium dibenarkan beroperasi bermula hari ini di Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL.

SERI KEMBANGAN – Pengusaha pusat gimnasium akhirnya menarik nafas lega apabila mereka dibenarkan membuka semula operasi mulai hari ini selepas penutupan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0  pada Januari lalu.

Pemilik Enrich Fitness, Krishna Kumar, melahirkan perasaan gembira dengan kebenaran kerajaan untuk membuka semula operasi tersebut bagi membolehkan peniaganya sepertinya kembali bernafas.

“Saya sangat gembira kerana ahli kita sering bertanya bilakah gimnasium boleh dibuka semula.

“Sebenarnya pihak kami sudah bersiap sedia dengan semua prosedur operasi standard (SOP) apabila pusat gimnaisuam dibuka semula operasi.

“Jadi saya menasihati pengunjung supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebelum memasuki gimnasium,” ujarnya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Temubual bersama Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

Kumar yang juga Presiden Penaja Persatuan Pusat Gim Malaysia sebelum ini memberitahu, sebanyak 80 pusat gimnasium yang beroperasi di lot kedai ‘gulung tikar’ sejak PKP dilaksanakan bermula Mac tahun lalu walaupun dibenar kembali operasi tiga bulan kemudian hingga awal tahun ini.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan pelaksanaan PKP 2.0 yang menyebabkan ramai akan menjadi bankrap tidak lama lagi.

Faktor utama golongan itu tidak dapat bertahan kerana tidak lagi berkemampuan untuk membayar sewa lot kedai dan gaji kakitangan.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, pengusaha pusat gimnasium sedia mematuhi SOP yang lebih ketat selepas dibenarkan beroperasi.

“Sebelum ini pun memang kami ikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

”Malah kami ada tambahan inisiatif sendiri dengan mewajibkan pelanggan membawa dua helai tuala kecil, hadkan kehadiran pelanggan yang datang, membersih peralatan dua jam sekali dan membuat jadual temujanji untuk pelanggan.

“Kami sanggup beroperasi dengan SOP lebih ketat memandangkan pendapatan sekarang jatuh lebih 50 peratus sejak PKP tahun lalu.

“Sebelum ini kami boleh mendapat 100 pelanggan namun selepas PKP kurang dalam 40 peratus namun masih mampu bertahan untuk membayar sewa lot kedai dan gaji pekerja. Sekiranya tidak dibenarkan beroperasi, akan ramai lagi yang gulung tikar,” katanya.

Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar mengambil peluang membersihkan alat senaman berikutan pusat gimnasium dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

Enrich Fitness yang memiliki enam cawangan di Lembah Klang dan Selangor menawarkan bayaran percuma kepada warga emas selama ini.

Bagi yuran ahli, pusat itu hanya mengenakan bayaran RM76 sebulan tanpa sebarang kontrak dan yuran masuk harian RM5 pada hari biasa dan RM7 pada hujung minggu.

Selain itu, kemudahan turut disediakan untuk ahli dan pengunjung wanita apabila disediakan ruang khas untuk mereka bersenam tanpa bercampur dengan lelaki.

Ketika ini, semua Enrich Fitness beroperasi bermula 8 pagi hingga 10 malam. – MalaysiaGazette