Syed Saddiq ketika melawat pakcik Hashim yang tinggal di rumah usang di Parit Pechah Laut, Muar. foto FB Syed Saddiq Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar (KLB) untuk meluluskan pembinaan rumah baharu seorang pakcik yang tinggal di Parit Pechah Laut, Muar.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, pakcik Hashim tinggal di rumah yang uzur dan usang lebih 6 bulan sejak tahun lepas.

Katanya, dinding rumah pakcik itu sudah dimakan anai-anai, tangga rumah sudah patah dua dan atap pun sudah bocor.

”Kalau hujan, rumahnya sudah tidak lagi boleh jadi tempat berteduh,” katanya yang tidak sanggup melihat pakcik Hashim tinggal di rumah uzur itu.

Disebabkan keadaan rumah tersebut tidak selamat, Syed Saddiq telah membawa pakcik Hashim mandi dan berehat di rumahnya di Parit Unas ketika beliau mencari tempat tinggal sementara untuk warga emas itu.

Katanya, pakcik Hashim menerima bantuan OKU kerana tidak berupaya bekerja sebanyak RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tetapi bantuan dari KPLB dan Baitulmal masih belum dapat.

”Saya ingin merayu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk meluluskan permohonan beliau untuk bina baharu rumah di atas tanah warisan yang sedang didiaminya melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Lagi lama kita tangguh, lagi berat beban yang ditanggung Pakcik Hashim.

”Saya memohon sumbangan crowdfunding dari rakyat Malaysia yang ingin berkongsi. Tujuan crowdfunding ini adalah untuk membiayai kos sara hidup dan menyewa tempat tinggal sementara pakcik Hashim,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau meminta maaf kerana tidak mampu memberi bantuan kepada pakcik Hashim kerana peruntukan kepada Parlimen Muar telah dipotong dari RM3.8 juta kepada RM 100,000 setahun.

”Apa yang ada, saya bantu. Tapi sangat terhad,” ujarnya.

Ketika berita ini ditulis, pakcik Hashim sudah dihantar ke Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas.

”Yuran pusat jagaan adalah sebanyak RM1,200 sebulan. Pakcik Hashim hanya terima RM300 dari JKM. Selebihnya perlu ditanggung oleh Pusat Khidmat Parlimen Muar.

”Jika anda ingin membantu, boleh salurkan sumbangan melalui akaun ini untuk pakcik Hashim dan Pejabat Parlimen Muar akan bantu uruskan,” ujarnya.

Bantuan boleh disalurkan kepada:

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar
CIMB Bank: 8603323060
Rujukan: Pakcik Hashim
– MalaysiaGazette