KUALA LUMPUR – Hubungan UMNO-Pas yang dimeterai menerusi penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak begitu senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan kedua-dua parti juga masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

Menurut Ahmad Zahid, beliau tahu ramai tertanya-tanya mengenai status terkini (MN) berikutan Pas secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Manakala UMNO sebaliknya. UMNO sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ke-7 letak jawatan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berkongsi cerita mengenai ilham untuk menjalinkan semula kerjasama antara kedua-dua parti yang telah pun wujud sejak tahun 1998.

“Selepas saya mendapat “Ijazah” Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), saya bertemu pemimpin PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din ketika itu.

“Allahyarham Tuan Guru waktu itu merupakan Ketua Penerangan PAS. Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Datuk Dr. Haron Din kepada saya.

“Beliau menyatakan betapa hasratnya melihat UMNO dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun walau tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, beliau secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham Tuan Guru kepadanya apabila beliau kembali ke rahmatullah pada 2016.

“Syukur Alhamdulillah wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019,” katanya.

Beliau turut mengimbas pengalaman sebagai Presiden UMNO yang berkunjung ke pusat perkhidmatan Presiden Pas di Rusila dan menghadiri Muktamar Sanawi Pas di Gong Badak.

Katanya, usaha mewujudkan kerjasama UMNO dan Pas pasca PRU14 ini turut dijayakan oleh kepimpinan tertinggi yang lain kedua-dua parti.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama itu perlu diteruskan UMNO dan Pas kerana ia terbukti memberi impak positif dan hubungan itu akan terus rapat serta dekat.

“Sebab itu juga baru-baru ini saya menyatakan BN akan terus diperkasakan dan dalam masa yang sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama,” katanya. – MalaysiaGazette