Gangguan bekalan di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana, Ampang baru-baru ini berpunca daripada kerosakan kabel TNB akibat kerja pengorekan oleh kontraktor pembinaan lebuh raya SUKE.

KUALA LUMPUR – Kerosakan kabel bawah tanah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak ketiga melakukan kerja pengorekan secara melulu, kekal menjadi batu penghalang kepada usaha syarikat utiliti itu menyalurkan bekalan tanpa gangguan.

Ujar Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB, Mohd Yusof Ibrahim, walaupun beberapa langkah telah diambil, namun statistik kes gangguan elektrik berulang melibatkan pengorekan pihak ketiga di Semenanjung masih tinggi.

Katanya, tahun lalu sahaja sebanyak 459 kes gangguan bekalan menyebabkan ketidakselesaan kepada kira-kira 499,000 pengguna berbanding 689 kes dan 530,000 pengguna tahun 2019.

“Untuk lima minggu pertama tahun ini sahaja, lebih 45,000 pengguna telah terkesan akibat kerja pengorekan oleh pihak ketiga.

“Terbaharu, kes gangguan bekalan di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana, Ampang yang berpunca daripada kerosakan kabel TNB akibat kerja pengorekan oleh kontraktor pembinaan lebuh raya SUKE,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Yusof, siasatan mendapati gangguan awal kerosakan kabel itu berlaku 1 Februari lalu, tetapi selepas pembaikan, dua lagi kerosakan berasingan dilaporkan di laluan kabel sama pada 2 dan 7 Februari, dipercayai kesan daripada kerosakan sebelumnya.

Kata beliau, dua lagi gangguan yang berlaku pada 2 dan 7 Februari itu memaksa TNB menyalurkan bekalan kepada pengguna melalui set janakuasa bergerak, sementara kerosakan kabel dibaiki.

TNB juga, jelasnya telah mengambil beberapa tindakan terhadap kontraktor terbabit seperti menyerahkan notis Arahan Berhenti Kerja dan tuntutan balik kos pembaikan serta akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

“Kami mohon kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja pengorekan agar merujuk terlebih dahulu kepada TNB bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat bagi mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpama berulang.

“Semakan awal dengan kami boleh mengurangkan risiko berlakunya kejadian kerosakan kabel bawah tanah TNB, seterusnya mengurangkan gangguan bekalan,” katanya.

Beliau juga berkata, pihak kontraktor boleh memaklumkan kerja pengorekan yang bakal dilakukan melalui portal ‘Call Before You Dig’ (www.cbyd.com.my).

Portal itu membolehkan kontraktor menyemak dengan pembekal utiliti mengenai saluran kabel atau paip di kawasan yang bakal dilaksanakan kerja pengorekan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan gangguan bekalan elektrik boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine. – MalaysiaGazette