Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 19 kluster baharu Covid-19 dan bilangan tersebut merupakan antara jumlah kluster harian tertinggi yang direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 14 kluster membabitkan tempat kerja.

Beliau berkata, pertambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 1,015 kluster.

“Jumlah kluster aktif dilaporkan sebanyak 499 manakala jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 79 kluster.

“Pecahan kluster tersebut adalah lima kluster ditemui di Sarawak, empat kluster di Johor dan Selangor, dua kluster di Sabah, dan masing-masing satu kluster di Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Perak,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham memaklumkan, kluster baharu itu adalah Package Pengerang, Wawasan Kulai, Industri Cyber, Jalan Pelepas Empat, Rawang Bestar, Jalan Industri Dua Belas, Jalan Industri Tiga, Jalan Lazuardi, Simpang Tiga, Jalan Apas Empat, Tapak Bina Jalan Segambut, Jengka Tujuh, Jalan Day, Jalan Kayu Manis , Gelong, Kidurong Dua, Kampung Sungai Maong, Univista dan Jalan Geronggang.

Tambahnya, jumlah kluster yang ditamatkan hari ini adalah sebanyak sembilan iaitu Kluster Jalan Thamby, Kluster Tapak Bina Hevea, Kluster Jalan Padu, Kluster Pasar Jalan Sentosa, Kluster Wawasan Gading, Kluster Jalan Datuk, Kluster Tampoi Jaya, Kluster Rantau Cempaka dan Kluster Keranji Tabuan.

Ujarnya, kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Damar (201 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Segambut (173 kes) dan Kluster Industri Cyber (161 kes). – MalaysiaGazette