Orang awam membeli air di gerai Hotel Perdana KLCC berhadapan hotel ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Meskipun terkesan dengan pandemik Covid-19 namun ia tidak menghalang Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre melakukan amal jariah.

Hotel itu membuat kelainan dengan menganjurkan program infaq makanan dengan mengedarkannya kepada golongan yang memerlukan.

Pengurus hotel berkenaan, Zakaria Ismail berkata, idea menganjurkan infaq makanan tercetus apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketika itu, jelas beliau, seluruh hotel terjejas kerana tidak dapat beroperasi selain ramai rakyat daripada pelbagai latar belakang merasakan kesan daripada penularan wabak ini.

Justeru, Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre berpandangan, operasinya perlu diteruskan dengan melaksanakan infaq makanan bernilai RM10 setiap satu pak.

Pelanggan yang datang mengikut Prosedur Operasi Standard ketika membeli makanan dan minuman di gerai yang berada di hadapan hotel di Hotel Perdana KLCC, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 16 FEBRUARI 2021.

“Infaq yang kita lakukan adalah yang kedua, pertama tahun lalu PKP yang pertama sebelum bulan puasa kita ada melaksanakan infaq.

“Untuk tahun ini apabila kita sekali lagi berhadapan PKP sejak 13 Januari yang lalu, kita rasa kita perlu melakukan sesuatu untuk membantu mereka yang memerlukan dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,”katanya kepada MalaysiaGazette.

Hasil sumbangan infaq makanan, ujarnya, akan diedarkan kepada golongan yang memerlukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR), rumah anak yatim, rumah kebajikan dan banyak lagi.

Tambah beliau, ada dalam kalangan masyarakat yang menginfaqkannya kepada petugas barisan hadapan di hospital, sebagai simbolik penghargaan terhadap usaha mereka membantu mengawal penularan Covid-19 sejak awal tahun lalu.

“Kita cari para penyumbang tidak kira daripada individu, NGO, sesiapa yang nak menyumbang kepada kita, kita sediakan makanan harian bernilai RM10 satu hidangan, masakan pelbagai menu, hari-hari kita cari rumah kebajikan, rumah anak yatim, rumah orang tua, PPR dan beberapa hospital.

“Ada juga penyumbang kita pesakit daripada hospital dirawat dan menyatakan terima kasih dengan memberi kepada hospital. Selain itu kita menerima sumbangan daripada orang ramai untuk membantu orang yang memerlukan,” tambahnya,

Pelanggan yang datang mengikut Prosedur Operasi Standard ketika membeli makanan dan minuman di gerai yang berada di hadapan hotel di Hotel Perdana KLCC, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 16 FEBRUARI 2021.

Dengan moto ‘Amanah yang anda berikan, kami laksanakan’, Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre, tambah Zakaria, berhasrat memperluaskan golongan sasaran program infaq itu.

“Buat masa sekarang dengan dana yang kita terima kita beri infaq itu pada hari tertentu contohnya hari bekerja, insyaAllah kalau masa depan (apabila) dana kita bertambah kita akan lakukan setiap hari dan kita akan perluaskan lagi bagi mereka-mereka yang menerima infaq kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast