Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Orang awam dinasihatkan agar mendapat pandangan dan maklumat sahih berkaitan vaksin Covid-19 daripada pakar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menegaskan perkara itu berkata, setiap perkara dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan Covid-19 adalah berlandaskan bukti saintifik termasuk melihat kajian fasa ketiga setiap vaksin yang mahu mendapat kelulusan bersyarat.

Katanya, setiap pemerhatian itu juga melihat keberkesanan serta tahap keselamatan calon vaksin sebelum penggunaannya dibenarkan.

Ujarnya, KKM juga bersedia menerima sebarang pandangan daripada semua pihak berkaitan Covid-19 termasuk mengenai vaksin.

“Akhir-akhir ini ramai yang memberikan pandangan mengenai vaksin melalui pelbagai saluran media terutama media sosial.

“Setiap individu ada pandangan masing-masing tetapi yang penting ialah untuk mendapatkan pandangan daripada pakar, maklumat sahih supaya kita dapatkan maklumat terkini mengenai vaksin itu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan kes Covid-19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu Dr. Noor Hisham berkata, pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 akan dibuka kepada orang ramai pada 1 Mac depan.

Tambahnya, sebanyak lima kaedah pendaftaran telah ditetapkan oleh KKM.

“Antara lima kaedah pendaftaran itu adalah melalui MySejahtera, laman sesawang dan telefon,” jelasnya. – MalaysiaGazette