Abdul Latiff Suhaimi.

KUALA LUMPUR – Semua pemain dan pegawai setiap pasukan perlu bersama-sama berganding bahu dan bersatu hati untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) demi memastikan kelangsungan Liga Malaysia musim ini tidak terjejas gara-gara pandemik Covid-19.

Pemain yang telah menyatakan komitmen untuk mematuhi SOP di bawah home quarantine turut berharap rakan-rakan dari pasukan lain turut bersama-sama memikul amanah demi memastikan tiada kes jangkitan Covid-19 boleh menular sepanjang saingan Liga Malaysia berlangsung.

Pemain Pulau Pinang, Abdul Latiff Suhaimi mengakui, SOP terbaharu kali ini sedikit berbeza namun demi memastikan kelangsungan Liga Malaysia, dia akan sedaya upaya mengikuti arahan yang ditetapkan selain menyeru semua pihak ada kesedaran yang sama.

“Saya nasihatkan bukan sahaja untuk diri saya tetapi kepada rakan-rakan sepasukan serta pasukan lain, yang berada dalam arus yang sama dan pihak pengurusan, janganlah kita ambil mudah dan langgar SOP.

“Kalau seorang terkena jangkitan Covid-19, peluang untuk orang lain terjangkit juga tinggi dan pasti berkara ini memberikan kesan kepada Liga Malaysia di mana ramai pihak yang harapkan dapat kembali bermula.

“Ikut sahaja SOP yang telah ditetapkan MKN jika sayangkan bola sepak kita selain memastikan perjalanan liga kita musim ini dapat dijalankan semua perlawanan Liga Super selain saingan Piala Malaysia,” katanya.

Semalam, beberapa pasukan yang telah mendapat kebenaran MFL mula menjalani latihan termasuk UiTM FC, Selangor, Selangor 2 dan PJ City dengan hampir semua pasukan memillih pendekatan ‘home quarantine’ sebagai SOP yang ditetapkan oleh MKN.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, beliau tidak gusar selain optimis semua pemain serta pegawai mampu menjaga SOP ditetapkan termasuk kawalan diri semasa di luar waktu latihan. – MalaysiaGazette