Dr. Luqman Abdullah

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah menjadi tokoh agama pertama ‘menyelamatkan’ umat Islam dengan membuat keputusan hukum bagi penggunaan aplikasi Sugarbook.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berharap ketegasan mufti itu diharap menjadi rujukan mufti-mufti lain dan Majlis Fatwa untuk bersama-sama menyedarkan pihak tertentu mengenai bahaya aplikasi yang menjurus ke arah perbuatan zina.

“Alhamdulillah, harapan saya semalam agar ulama bangun menyelamatkan umat dengan membuat keputusan hukum ke atas penggunaan aplikasi yang menyediakan khidmat Sugar Baby dan Sugar Daddy ini mendapat reaksi dari Mufti Wilayah Persekutuan.

“Dr. Luqman antara lain menyatakan, sebarang perbuatan yang boleh mendorong kepada berlakunya perzinaan adalah jelas dilarang menurut syarak.

“Begitu juga larangan ke atas umat Islam daripada menyertai aplikasi Sugarbook ataupun mana-mana aplikasi lain yang berkaitan adalah selaras dengan prinsip Sadd al-Dzara’i’ iaitu penutupan pintu yang boleh membawa kepada perbuatan haram di sisi Islam.

“Sugar Daddy dan Sugar Baby serta mana-mana umat Islam yang terlibat dengannya hendaklah segera bertaubat kepada Allah dan berazam untuk meninggalkan perbuatan tidak bermoral itu selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Kamarul Zaman Yusuff

Dr. Luqman adalah anak kepada Abdullah Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan dan yang masih merupakan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Beliau antara yang terawal menyatakan keprihatinan kepada isu penyediaan dan penggunaan aplikasi yang menyediakan khidmat Sugar Baby dan Sugar Daddy, iaitu satu masalah besar yang sedang hangat diperkatakan sekarang. – MalaysiaGazette