Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jualan kenderaan pada bulan Januari lalu jatuh sebanyak 24 peratus kepada 32,829 unit berbanding 42, 942 unit setahun lalu.

Kejatuhan jualan itu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, perbandingan dari bulan ke bulan menyaksikan penurunan jualan sebanyak 51 peratus pada bulan Januari berbanding 68,836 unit pada bulan Disember 2020.

“Kejatuhan jualan pada bulan Januari adalah paling rendah sejak bulan Mac 2020 iaitu ketika kemuncak pertama PKP. Ketika itu hanya 23,309 unit kenderaan yang dijual,” kata MAA dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, jualan kenderaan terjejas disebabkan penutupan operasi pembekal alat ganti disebabkan pandemik Covid-19, sekali gus mengakibatkan berlaku kekurangan dalam bekalan komponen bagi segelintir syarikat.

Dalam pada itu, volum pengeluaran juga susut 13 peratus kepada 39,666 unit pada bulan Januari berbanding 45,416 unit tahun lalu.

Mengulas unjuran tahun ini, MAA berkata, volum jualan bulan ini juga dijangka lebih rendah berbanding Januari disebabkan tempoh kerja lebih pendek. – MalaysiaGazette