Asnawi Mangkualam.

KUALA LUMPUR – Kelab liga Korea Selatan, Ansan Greeners FC telah memperkenalkan pemain baharu mereka dari Indonesia iaitu Asnawi Mangkualam secara rasmi selepas beberapa minggu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab K.League 2 itu.

Pengumuman yang dibuat melalui laman sosial rasmi pasukan itu yang menyaksikan seorang lagi pemain dari negara itu berkelana ke luar negara.

Berita pengenalan secara rasmi itu juga telah menjadi tumpuan apabila laman sosial Twitter rasmi K.League juga turut mengemaskini mengenai Asnawi yang pastinya bakal memberikan impak besar kepada liga bola sepak Korea Selatan.

“Tahap (bola sepak) K.League antara yang terbaik di Asia. Hari sebelum saya datang ke Korea, ketua jurulatih Shin Tae-yong telah memberikan banyak nasihat kepada saya mengenai bola sepak Korea Selatan.”, kata Asnawi yang dipetik dari Facebook rasmi Ansan Greeners FC.

Bulan lalu, pengikut di Instagram Asnawi naim sehingga 740 peratus selepas dia dikatakan hampir pasti berlepas ke Ansan Greeners.

Pemain berusia 21 tahun itu sebelum ini beraksi untuk kelab PSM Makassar dan skuad Indonesia Bawah 23 Tahun. – MalaysiaGazette