Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu.

Ini merupakan kunjungan pertama Ronald terhadap Hajiji di PPNS yang turut disertai Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras merangkap Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras, Azman Mahmood, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M.Salleh, Pengarah Pembangunan Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Abu Sujak Sanusi dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Salmah Labulla.

Ia juga sebagai kunjungan balas bagi Ronald yang menerima kunjungan Hajiji di Wisma Pertanian di Putrajaya pada 7 Januari lepas.

“Perbincangan telah menjurus kepada pelbagai usaha bagi terus meningkatkan industri pertanian, perikanan dan penternakan di Sabah. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan menjamin keselamatan makanan negara,” kata satu kenyataan kementerian hari ini.

Terdahulu, Ronald membuat kunjungan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Dr. Jeffery G. Kitingan.

Antara perkara dibincang dalam lawatan rasmi ini mengenai Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman dan Rang Undang-Undang Baja yang akan dibawa ke Parlimen akan datang.

“Perjumpaan itu juga turut membincangkan mengenai pendekatan baharu melalui pertanian skala besar bagi peningkatan pengeluaran padi dan beras, penglibatan pihak swasta dan pemain industri, pelaburan dalam industri ruminan bagi tingkatkan SSL daging tempatan, pengembangan industri buah-buahan tempatan, perluasan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) yang baharu sebagai jelapang padi negara dan cadangan mewujudkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di negeri Sabah,” kata kenyataan yang sama.

Ronald juga telah mengadakan perjumpaan dengan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) bagi membincangkan cabaran yang dihadapi organisasi berkenaan dalam membangunkan komuniti nelayan dan pembangunan industri perikanan negeri.

Pada masa yang sama, kerjasama berterusan akan diperkukuhkan dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Ko-Nelayan bagi meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan dan sektor perikanan secara keseluruhannya, kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette