Pokok, akar kayu serta biji benih antara yang kerap dibeli menerusi online sebelum dikirim melalui kurier.

GEORGE TOWN – Tiada pengawasan pembeliaan secara online antara punca pelbagai biji benih, kayu hiasan, akar kayu serta pokok diseludup masuk melalui khidmat kurier.

Taktik itu dibongkarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang selepas merampas pelbagai produk pertanian yang diimport masuk secara haram ke dalam negara melalui khidmat kurier.

Produk pertanian dibeli secara online sebelum dikirim menerusi kurier.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, menyeludup masuk tanah negara luar ke dalam negara merupakan satu perbuatan haram serta menyalahi undang-undang.

Katanya, ramai rakyat dalam negara suka membeli produk pertanian tanpa mempedulikan keselamatan tanaman dalam negara.

“Kemajuan teknologi disalah guna apabila orang ramai mula membeli produk pertanian secara online dari pelbagai negara sebelum dipos ke sini.

“Hasil pemeriksaan di Pejabat Pos Juru membawa kepada rampasan pelbagai produk pertanian seperti biji benih cili eksotik, akar kayu, kayu hiasan, pokok kaktus besertakan tanah yang dibeli secara online.

Antara produk pertanian yang dirampas MAQIS Pulau Pinang.

“Orang ramai tidak tahu tindakan mereka itu boleh merosakkan eko sistem negara walaupun jumlah yang dibawa masuk sedikit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Difahamkan, kebanyakan produk pertanian itu dibeli dari Thailand, Taiwan, China dan Belanda tanpa dokumen yang sah termasuk Permit Import oleh MAQIS dan Sijil Fitosanitasi dari negara pengeksport.

Sehubungan itu, Zarina menasihatkan orang ramai agar tidak membeli produk pertanian atau menyeludup masuk ia secara haram. – MalaysiaGazette