PUTRAJAYA – Permohonan e-baucar buku bagi fasa pertama ditutup dengan 50,000 baucar berjaya ditebus selepas lapan jam permohonan dibuka, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
KPT memaklumkan penyaluran bagi fasa pertama itu adalah sebagai usaha kementerian untuk menyokong penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2024) dengan pembelian buku dibuat di platform BookCapital, kelolaan Perbadanan Kota Buku yang juga penganjur bersama PBAKL 2024.
“Penyaluran baucar buku selebihnya akan dibuat pada fasa berikutnya dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak,” KPT memaklumkan dalam hantaran di laman Facebook rasminya, di sini hari ini.
Menurut KPT, inisiatif baucar buku itu akan memanfaatkan lebih 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah kelolaan KPT.
Pada 30 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar pembelian buku berjumlah RM100 kepada pelajar IPT semasa perasmian PBAKL 2024.
Pengumuman tersebut merupakan satu langkah membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus membugar budaya membaca terutama dalam kalangan pelajar IPT. – BERNAMA