Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Pihak sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengarah perlu diberi kuasa autonami untuk membuat keputusan pembukaan sekolah atau sebaliknya.

Ini kerana setiap lokasi berbeza memiliki kes dan keadaan yang berbeza.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak boleh membuat keputusan pembukaan sekolah secara ‘pukul rata’ ketika pandemik masih melanda.

“Apakah alasan utama untuk mereka kembali ke sekolah di kala pandemik masih belum benar-benar surut dan masih terdapat negeri dan kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah.

“Kekalutan pengumuman tanpa alasan yang diberikan telah menimbulkan seribu satu persoalan dalam kalangan rakyat,” kata jawatankuasa itu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Dr Maszlee Malik (Ahli Parlimen Simpang Renggam), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangan), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Ahli Parlimen Tampin).

Dalam masa sama, sekolah haruslah memberi ruang kepada guru untuk fokus mengajar ketika sekolah dibuka kelak.

Semua tugas pentadbiran, pembinaan kertas kerja dan beban kerja kekemasan kelas tidak boleh menjadi keutamaan.

Menurut mereka, guru-guru dan kakitangan sekolah harus menjadi prioriti dalam program vaksin kerana saat sekolah beroperasi kembali, guru juga adalah barisan hadapan yang berjuang mendidik anak bangsa.

Kerajaan wajib mempunyai pelan-pelan menyeluruh bagi semua senario melibatkan pandemik Covid-19 agar ibu bapa, pelajar dan guru dapat mengusahakan langkah-langkah persediaan yang rapi. – MalaysiaGazette